Sunday, February 5, 2017

TERUSKAN MENULIS WALAUPUN EKONOMI LEMBAB





TIDAK dinafikan, apabila ekonomi lembab, banyak syarikat penerbitan mengecilkan saiz penerbitan. Malah ada yang mengurangkan staff demi kelangsungan hayat penerbitan. Jika sebelum ini ada penerbit yang menerbitkan 50 buku setahun tetapi akibat ekonomi lembab, mereka mengurangkan kepada 20 buku setahun.

Akibatnya ramai penulis tidak mendapat peluang. Manuskrip yang ada di tangan penerbit terpaksa dipulangkan kepada penulis. Akibatnya penulis yang menerima kesannya. Penulis tidak boleh salahkan penerbit.

Siapalah penulis jika tiada penerbit yang mahu menerbitkan buku mereka?
Dalam hal ini, apakah tindakan penulis? Berhenti menulis! Itu bukanlah jawapannya.

Jawapan yang tepat, penulis mesti menulis seperti biasa. Inilah masanya penulis menumpukan untuk menulis. Jangan menunggu ekonomi pulih semula barulah hendak menulis. Itu salah.

Jika ikut cara orang yang bergelumang dengan hartanah, masa ekonomi lembab inilah mereka memberi harta dan menjualnya semula apabila ekonomi pulih. Begitu juga dengan penulis. Masa ekonomi lembab inilah kita banyak menghasilkan karya.

Kumpulkan karya sebanyak mungkin. Ditakdirkan ekonomi pulih semula, kita ada stok karya di tangan. Mudahkan kita untuk menghantar manuskrip ke mana-mana penerbit.

Tetapi jika kita tidak berkarya, kita tidak aka nada karya. Apabila ekonomi pulis semua, penerbit akan mula mencari manuskrip. Masa inilah kita dengan mudah memberikan mansukrip yang sudah siap. Perlu ingat, menghasilkan satu manuskrip bukan memakan sehari dua, malah adakala berbulan-bulan.

Kepada mereka yang menulis novel atau bukua, biar ekonomi lembab macam mana sekalipun jangan sesekali berhenti menulis. Menulislah seperti biasa.

Kelembapan ekonomi hanyalah bersifat sementara. Ini ujian bagi penulis. Ujian juga bagi mereka yang mencari rezeki dalam pelbagai bidang. Ini yang dikatakan air pasang surut. Bila air pasang, kita akan berada di atas pantai tetapi apabila air suraut, inilah masanya untuk kita mencari hasil laut, seperti kepah, lokan, kerang dan pelbagai lagi jenis hidupan laut.

Kita mesti ingat, dalam kesusahan pasti ada kemudahan yang menanti. Banyakan bersabar menghadapi kelembapan ekonomi yang banyak membawa kesan kepada rakyat.





MENULIS NOVEL TAK SEPERTI BUAT RUMAH PASANG SIAP





WALAUPUN namanya ‘Rumah Pasang Siap,” bukan bermakna hari ini pasang, esok rumah sudah siap. Lusa boleh masuk rumah. Boleh bermalam, memasak dan sebagainya. 

Memang namanya rumah pasang siap tetapi ia memakan masa juga untuk disiapkan. Bukan sehari dua, mungkin seminggu atau sebulan.

Bila rumah sudah siap,  senang cakap bukan boleh terus duduk. Ia mesti mendapat kelulusan menduduki oleh pihak berkuasa tempatan. Jika sudah ada surat kebenaran daripada pihak terbabit, rumah itu selamat diduduki, barulah penghuni rumah boleh masuk.

Mereka boleh tidur lena tanpa memikirkan rumah akan ‘runtuh’ ketika sedang lena. Rumah pasang siap ialah rumah yang telah disiapkan dinding-dindingnya terlebih dahulu mengikut acuan ditempat lain. Kemudian dipasang ditempat yang sudah disediakan, bertujuan untuk mempercepatkan pembinaan.

Bagaimanapun rumah pasang siap ini dibina menggunakan teknologi tinggi yang teguh. Ia bukan seperti rumah pondok yang boleh runtuh apabila ditiup angin ribut.

Begitu juga dengan menyiapkan sebuah novel atau buku. Walaupun ada cara yang mudah boleh menyiapkan novel, bukan bermakna hari ini buat, esok atau lusa boleh siap. Apa yang dikatakan mudah ialah menyiapkan rangka sejak awal untuk memudahkan menyiapkan novel.

Ada penulis menulis novel tanpa apa-apa persiapan. Ada idea di kepala, terus menghadap laptop dan terus menulis. Akibatnya, baru menulis dua tiga helai, idea terputus. Bila dah tak ada idea, menulis novel terbantut lalu terbengkalai. Ini sering terjadi.

Apabila semua persiapan untuk menulis novel sudah tersedia, semuanya menjadi mudah.
Seperti juga ingin  menyiapkan sebuah rumah. Apabila sudah ada tapak, ada pelan, sumber kewangan yang cukup, ada pekerja kontrak, ada kontraktor, semua bahan binaan cukup, cuaca pula baik. Rumah akan cepat disiapkan.

Bayangkan, macam mana rumah nak siap, kalau bahan-bahan binaan tak  ada walaupun ada pekerja yang nak buat?  Macam mana rumah nak siap walaupun bahan binaan cukup tetapi selalu hujan, macam mana pekerja nak buat kerja dalam hujan? Macam mana simen nak kering kalua tiada cahaya matahari?

Jika salah satu faktor yang membolehkan rumah siap tidak ada, rumah tidak akan siap dengan sempurna. Sebagai contoh rumah ada tingkap tetapi tak ada pintu. Rumah ada dapur tapi tak ada bilik air. Rumah ada air tetapi tak ada bekalan elektrik. Semua itu bahan asas.

Menulis novel juga begitu. Jika salah satu keperluan sesebuah novel tak ada, novel mungkin siap tetapi tidak sempurna. Bila membaca seperti ada yang kurang.

Kepada mereka yang mahu atau sedang menulis novel, pastikan semuanya cukup sebelum menulis novel. Jangan menulis novel tanpa persediaan. Ibarat memasak tanpa bahan resepi yang cukup. Masakkan mungkin siap tetapi orang tidak berselera menjamah.


Thursday, January 29, 2015

ELAK MERAPU KETIKA MENULIS



PERNAHKAH apabila kita membaca lembaran pertama, kedua, ketiga dan seterusnya, sesebuah novel, kita masih tidak dapat menangkap apakah yang hendak disampaikan oleh penulis? Kita akan tertanya-tanya apakah sebenarnya yang hendak disampaikan oleh penulis kepada pembaca sehinggakan mesej yang hendak disampaikan tidak jelas. 
       Penulis, menulis perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan pokok persoalan yang hendak disampaikan. Penulis menulis hal-hal yang tiada kaitan dengan persoalan yang hendak disampaikan.
     Sebagai contoh yang mudah, Ahmad hendak ke satu bandar B untuk mencari satu barang yang jaraknya kira-kira 15 kilometer sahaja dari rumah. Jika Ahmad dari rumah terus ke bandar B dan terus ke kedai yang dimaksudkan, masa yang diambil mungkin kira-kira tidak smapai setengah jam. 
     Tetapi jika Ahmad dari rumah, kemudian singgah di kedai kopi, kemudian singgah di stesyen minyak, selepas itu bertemu kawan lama, singgah pula di rumah kawan lamanya, setelah itu baru pergi ke kedai mencari barang tersebut, sudah tentu jarak yag 15 kilometer yang memakan masa tidak sampai setengah jam akan mengambil masa sehingga empat atau lima jam.
   Perbezaannya begitulah apabila kita menulis novel. Jika kita terus kepada pokok persoalan, pembaca akan mudah faham. Ini sebenarnya yang hendak disampaikan di halaman pertama dan seterusnya tetapi jika melakukan sebagaimana Ahmad yang singgah di beberapa tempat kemudian barulah pergi ke kedai, inilah yang menyebabkan pembaca tidak mahu meneruskan pembacaan sekaligus penulis gagal untuk menarik minat pembaca.
     Penulis menulis hal-hal yang remeh atau ‘merapu’ hanya untuk memanjang-manjangkan cerita tetapi tidak ada mesej  yang hendak disampikan. Pembaca  akan jemu dengan penulis yang suka merapu’ dalam penulisannya. Jika kita hendak menyampaikan sesuatu mesej, terus sahaja kepada pokok persoalan, jangan merapu kepada hal-hal yang tidak ada kaitan dengan cerita.
    Corak penulisan seperti ini juga dianggap ‘kabur’, tidak berkesan meskipun bahasa tulisannya indah, menarik dan puitis tetapi tidak mengandungi makna.
    Tulislah dengan bahasa yang mudah, tepat, jelas maksud apa yang hendak disampaikan. Jangan ‘terkeleweh-keleweh’ hendak menyampaikan sesuatu seperti seorang gadis yang tersipu-sipu untuk menyatakan sesuatu sedangkan perkara itu bukanlah sesuatu yang mengaibkan.
       Untuk memastikan pembaca tidak menutup novel meskipun baru membaca sehelai dua  muka surat, elakan daripada menulis mengikut cara di atas. Jika hendak menjadi penulis novel yang baik, banyakan mengkaji dan membaca novel-novel yang baik di pasaran.
        Kaji teknik penulisan, gaya bahasa, struktur ayat yang digunakan dan seumpamanya yang menyebabkan  anda mahu membaca berulangkali. Pasti ada sesuatu yang menarik jika anda sanggup mengulang baca beberapakali.