Sunday, February 5, 2017

MENULIS NOVEL TAK SEPERTI BUAT RUMAH PASANG SIAP





WALAUPUN namanya ‘Rumah Pasang Siap,” bukan bermakna hari ini pasang, esok rumah sudah siap. Lusa boleh masuk rumah. Boleh bermalam, memasak dan sebagainya. 

Memang namanya rumah pasang siap tetapi ia memakan masa juga untuk disiapkan. Bukan sehari dua, mungkin seminggu atau sebulan.

Bila rumah sudah siap,  senang cakap bukan boleh terus duduk. Ia mesti mendapat kelulusan menduduki oleh pihak berkuasa tempatan. Jika sudah ada surat kebenaran daripada pihak terbabit, rumah itu selamat diduduki, barulah penghuni rumah boleh masuk.

Mereka boleh tidur lena tanpa memikirkan rumah akan ‘runtuh’ ketika sedang lena. Rumah pasang siap ialah rumah yang telah disiapkan dinding-dindingnya terlebih dahulu mengikut acuan ditempat lain. Kemudian dipasang ditempat yang sudah disediakan, bertujuan untuk mempercepatkan pembinaan.

Bagaimanapun rumah pasang siap ini dibina menggunakan teknologi tinggi yang teguh. Ia bukan seperti rumah pondok yang boleh runtuh apabila ditiup angin ribut.

Begitu juga dengan menyiapkan sebuah novel atau buku. Walaupun ada cara yang mudah boleh menyiapkan novel, bukan bermakna hari ini buat, esok atau lusa boleh siap. Apa yang dikatakan mudah ialah menyiapkan rangka sejak awal untuk memudahkan menyiapkan novel.

Ada penulis menulis novel tanpa apa-apa persiapan. Ada idea di kepala, terus menghadap laptop dan terus menulis. Akibatnya, baru menulis dua tiga helai, idea terputus. Bila dah tak ada idea, menulis novel terbantut lalu terbengkalai. Ini sering terjadi.

Apabila semua persiapan untuk menulis novel sudah tersedia, semuanya menjadi mudah.
Seperti juga ingin  menyiapkan sebuah rumah. Apabila sudah ada tapak, ada pelan, sumber kewangan yang cukup, ada pekerja kontrak, ada kontraktor, semua bahan binaan cukup, cuaca pula baik. Rumah akan cepat disiapkan.

Bayangkan, macam mana rumah nak siap, kalau bahan-bahan binaan tak  ada walaupun ada pekerja yang nak buat?  Macam mana rumah nak siap walaupun bahan binaan cukup tetapi selalu hujan, macam mana pekerja nak buat kerja dalam hujan? Macam mana simen nak kering kalua tiada cahaya matahari?

Jika salah satu faktor yang membolehkan rumah siap tidak ada, rumah tidak akan siap dengan sempurna. Sebagai contoh rumah ada tingkap tetapi tak ada pintu. Rumah ada dapur tapi tak ada bilik air. Rumah ada air tetapi tak ada bekalan elektrik. Semua itu bahan asas.

Menulis novel juga begitu. Jika salah satu keperluan sesebuah novel tak ada, novel mungkin siap tetapi tidak sempurna. Bila membaca seperti ada yang kurang.

Kepada mereka yang mahu atau sedang menulis novel, pastikan semuanya cukup sebelum menulis novel. Jangan menulis novel tanpa persediaan. Ibarat memasak tanpa bahan resepi yang cukup. Masakkan mungkin siap tetapi orang tidak berselera menjamah.


No comments:

Post a Comment