Tuesday, December 23, 2014

MENGURUS MASA MENULIS NOVEL



WALAUAPAPUN jenis pekerjaan, pengurusan masa yang betul amat penting dipraktikkan. Jika pengurusan masa tersusun dalam apa juga kerja yang dilakukan, ia akan siap dalam tempoh yang ditetapkan. Masalah tidak ada masa serta masalah-masalah lain yang mengganggu akan dijadikan alasan apabila kerja yang sepatutnya disiapkan, tidak terlaksana.            

Begitulah juga dengan dunia penulisan. Tidak kira apa juga bentuk genre penulisan. Pengurusan masa yang betul memang penting. Ada penulis, menulis mengikut mood atau menunggu datangnya idea. Ada juga yang tidak memerlukan dua eleman itu. Apabila keinginan untuk menulis tiba, ia akan duduk di depan komputer. Ketika itulah idea akan datang.

Bagi penulis sepenuh masa, mungkin tidak ada batas waktu tertentu menyediakan masa untuk menulis. Ia boleh menulis pada bila-bila masa yang ia mahu. Tetapi bagi mereka yang bekerja atau pelajar pada waktu siang, malam merupakan masa yang sesuai untuk menulis. Ini kerana waktu malam kurang sedikit ‘gangguannya’  berbanding waktu siang.

Ada beberapa tip yang mudah untuk diikuti sekiranya kerja-kerja penulisan mampu siap pada masa yang ditetapkan. Sama ada menulis cerpen, novel, drama, puisi, rencana dan sebagainya, jadual pengurusan masa mesti disediakan.

Sediakan masa yang tepat untuk menulis. Contohnya  dua jam atau tiga jam pada waktu malam. Bermula pada jam 9.00 hingga jam 12.00 atau jam 10.00 malam hinggá jam 1.00 pagi.
 Sediakan ‘dateline’  untuk menyiapkan satu-satu karya itu. Contohnya menulis novel. Novel akan  disiapkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan. Dua bulan, 60 hari. Tolak masa ‘gangguan’ jika ada, tinggal 45 hari. Katakan novel ada 45 bab. Bermakna, satu bab mesti disiapkan dalam masa seharĂ­. Boleh?
Satu bab, katakan  ada 8 halaman. Tiga jam menulis bahagi dengan 8 halaman. Bermakna satu jam, mesti menulis  sekurang-kurangnya 3 halaman kertas A4. Tidak bolehkah satu jam menulis tiga halaman, tentu boleh.
Untuk memudahkan kerja penulisan, semua idea atau bahan rujukan untuk menulis mesti sudah ada di sisi.  Sediakan sebotol air mineral botol kecil, untuk mengelakkan mengantuk ketika menulis. Minumlah sedikit jika rasa mengantuk dan meredakan ketegangan otak yang ligat berjalan.
 Amalkan menulis  tiga jam satu malam, tiga halaman satu jam, satu bab satu malam. Lakukan berterusan setiap malam.
 Jika letih, amalkan  berzikir dalam hati, berselawat atau pasang mp3 surah-surah tertentu dalam al-quran ( boleh di download secara percuma melalui Internet dan simpan dalam komputer) Ia boleh dipasang sebagai halwa telinga ketika mula menulis.  
 Jika ada masa, sila semak hasil penulisan tadi sebelum menutup komputer, jira tidak ada masa, boleh semak jira ada masa terluang.

Walaupun setiap penulis ada cara tersendiri bagaimana  menguruskan masa menulis, tetapi apa yang penting di sini ialah setiap kerja-kerja penulisan mesti berjadual. Ini untuk mengelakkan verja-kerja  penulisan sering tertangguh dan tidak menepati masa yang ditetapkan oleh pihak yang mahukan karya kita.

Sekiranya   ada penulis yang mempunyai gaya dan teknik tersendiri menguruskan masa menulis, adalah lebih baik jika pengalaman dikongsi bersama. Tambah pula kepada mereka yang baru berjinak atau ingin menjadi penulis, panduan seperti ini amat berguna.

Semoga tip yang diberikan di atas tadi memberikan sedikit sebanyak pengetahuan agar masa yang diperuntukkan untuk menulis tidak membazir begitu sahaja.  Masa memang penting untuk berkarya, tetapi masa menjadi tidak penting jika tersalah urus.  
 

No comments:

Post a Comment