Tuesday, December 23, 2014

PASTIKAN SIAPA PENERBIT NOVEL ANDA



SEBELUM menulis, anda harus pastikan ke manakah nanti novel anda itu akan diterbitkan. Di negara kita banyak penerbit novel. Pastikan novel anda itu diterbitkan oleh penerbit kukuh yang membayar royalti kepada penulis. Jika anda mahu novel itu diterbitkan oleh penerbit A, pastikan novel yang bagaimanakah yang telah diterbitkan oleh penerbit itu. Anda jangan tersalah memilih penerbit.

             Untuk mengetahuinya, beli novel-novel yang telah diterbitkan oleh penerbit berkenaan. Jika anda berkesempatan, hubungi editor penerbit berkenaan, apakah novel kreteria novel yang diperlukan. Katakan  anda sedang menulis novel, dan memerlukan butiran lanjut  mengenai konsep novel penerbit berkenaan. Tanyakan segala-galanya termasuk, tema yang diinginkan, ketebalan dan sebagainya. Ini untuk mengelakkan novel anda itu ditolak.

            Sesudah pasti, kumpulkan bahan-bahan untuk mengarang novel. Anda mungkin diminta menulis sebuah novel bertemakan kekeluargaan. Tema ini luas dan memang banyak perkara yang boleh ditulis. Di dalam kehidupan sesebuah keluarga, banyak sekali konflik yang berlalu. Daripada pergolakan rumahtangga, perceraian, perebutan anak, perebutan harta dan sebagainya.

            Kemudian ia bersangkut paut pula dengan orang lain, saudara mara, kawan dan sesiapa sahaja. Semua ada saling kait mengait. Lihat sahaja akhbar Harian Metro setiap hari. Banyak sekali kisah pergolakan yang berlaku atau peristiwa yang dipaparkan. Daripada kisah mat rempit, pergaulan bebas, buang anak, peragut, berkahwat, perceraian di mahkamah, perebutan anak dan sebagainya.

            Semua itu adalah bahan untuk kita menulis. Jadikan hobi untuk menyimpan keratan akhbar ini di dalam satu fail. Cuba ia cantumkan cerita-cerita di atas. Saya percaya ia akan menghasilkan sebuah rentetan cerita yang boleh dibuat novel. Saya percaya apabila kita menulis sinopsis nanti keratan cerita itu boleh diselitkan. Anda hanya perlu mengolah untuk dijadikan sebuah cerita.

            Anda sudah memiliki bahan-bahan itu. Jika masíh tidak cukup, anda boleh perolehi bahan-bahan itu daripada Internet. Apa yang saya sarankan di atas adalah teknik yang mudah untuk menapatkan bahan cerita. Kita tidak perlu berfikir, cerita apa yang saya hendak tulis? Tulislah apa yang anda tahu, jangan tulis  apa yang berada di luar pengalaman anda.

            Cuba ambil kertas atau tulis dalam komputer, apakah cerita anda itu kemudian olah ia menjadi sebuah sinopsis. Jika tidak menjadi, baca semula sehingga ia benar-benar menjadi sebuah cerita. 

No comments:

Post a Comment