Tuesday, December 23, 2014

PENTINGNYA ILMU BANTU



APABILA anda membaca kisah-kisah yang dipaparkan di akhbar seperti yang telah saya tuliskan sebelum ini, apakah anda fikir itu kisah dongeng atau ia memang benar-benar berlaku? Ya, itu kisah realiti yang benar berlaku. Kisah batal perkahwinan beberapa hari sebelum majlis, gadis maut dalam kemalangan seminggu sebelum berkahwin, jejaka maut kemalangan bas ekspress selepas beli cincin untuk pertunangan, gadis lari ikut lelaki seberang naiki bot tekong, gadis Malaysia hidup derita di tanah seberang selepas kahwin lari dan bermacam-macam cerita lagi.
           
            Semua itu adalah bahan berita yang boleh diolah menjadi sebuah novel. Jika anda tidak tahu untuk mengolah, mencatumkan cerita A, B, C dan seterusnya, ambil sahaja cerita yang mudah. Contoh: Gadis Malaysia kahwin lari dengan jejaka seberang atau Mat Bangla. Anda boleh tulis sinopsis bagaimana mereka mula berkenalan, ajak kahwin, orang tua melarang kerana berlainan budaya, akhirnya kahwin.   

            Selepas itu, apa yang terjadi. Berkahwin dan mempunyai anak tetapi hidup susah. Suami tidak bekerja tetap. Tidak ada duit untuk membeli susu. Hidup di rantau orang, tidak ada sesiapa hendak mengadu.  Selepas itu timbul penyesalan. Apa pula berlaku kepada keluarga. Membuangnya atau berusaha untuk menjejakinya?

            Apa yang berlaku di atas adalah cerita asas. Untuk lebih menarik, anda wajar mengolah supaya lebih menarik, wujudkan konflik dan watak sampingan. Untuk itu anda perlu ilmu bantu. Ilmu bantu tidak susah untuk anda mencarinya. Semua apa yang anda mahukan ada di dalam Internet. Anda cuma perlu ‘seacrh’ pada enjin carian. Contohnya bagaimanakah keadaan atau tempat di mana gadis itu tinggal di tanah seberang, nama kampung, aktiviti penduduk dan sebagainya.  
           
            Perlunya ilmu bantu dalam penulisan novel ibarat resepi tambahan kepada masakan atau eksesori kepada kenderaan atau ‘make up’ pada wajah. Ia lebih kepada kesempurnaan. Bagaimanapun semua itu bergantung kepada kebijaksanaan penulis. Anda tidak perlu menulis sesuatu secara mendalam tetapi pembaca dapat membayangkan dengan jelas latar atau suasana di mana peristiwa itu berlaku.

            Ilmu bantu bukan sahaja bergantung kepada bahan-bahan yang diperolehi tetapi juga kepada daya ingatan atau daya pengalaman anda. Jika anda banyak membaca, sudah tentu banyak memori yang tersimpan di alam ingatan kita. Mengikut pakar psikologi, apa yang pernah dibaca, didengar, dilihat dan difikirkan selalunya akan tersimpan di dalam daya ingatan seseorang. 
           
            Jika anda masíh gagal untuk mengingat, ini bermakna daya ingatan anda perlu dipertajamkan dengan banyak membaca, menélaah, mengkaji dan sebagainya. Jangan malu untuk bertanya jika anda tidak arif tentang sesuatu ingin anda tahu, Semoga tip ringkas ini boleh dijadikan panduan sebelum anda berura-ura mula menulis. Selamat mencuba.


No comments:

Post a Comment